BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, April 3, 2011

koleksi hadis sohih

Nabi Muhammad bersabda :

صِنْفَانِ من أَهْلِ النَّارِ لم أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بها الناس وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رؤوسهن كأسنة الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ ولا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ من مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

Ertinya : "Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)




Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Alamat Mimpi
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:”Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim adalah sebahagian dari 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga jenis:(1)Mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, (2) mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya dari syaitan, (3) dan mimpi yang timbul kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan jangan menceritakannya kepada orang lain.”

(Muslim)



Huraian
Setiap daripada kita pernah mengalami mimpi. Mimpi yang hadir ada yang menyenangkan dan ada juga mimpi yang buruk. Namun tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang tersirat di sebaliknya. Adakalanya mimpi itu bagaikan angin lalu yang tidak meninggalkan kesan kepada kita dan tidak kurang juga mimpi yang kita alami itu benar-benar menjadi kenyataan. Mimpi bagi orang yang bertaqwa merupakan perkhabaran benar terhadap sesuatu yang akan berlaku. Contohnya, Rasulullah s.a.w tidak bermimpi melainkan mimpi-mimpi baginda menjadi kenyataan. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain yang mengalami mimpi yang benar seperti kisah yang melatarbelakangkan sambuatan perayaan Idul Adha. Nabi Ibrahim a.s bermimpi, lalu baginda menceritakan hal mimpinya itu kepada anaknya, Ismail, "Wahai anakku, aku bermimpi menyembelihmu. Bagaimana pendapatmu?" (as-Shaffat: 102). Kerana yakin mimpi itu datang daripada Allah S.W.T, maka nabi Ismail a.s merelakan dirinya dikorbankan. Allah menghargai kesetiaan hamba-hamba-Nya yang soleh ini lalu menggantikan Ismail dengan seekor kibas. Begitu juga dengan kisah Nabi Yusuf a.s. Diceritakan bahawa pada suatu hari nabi Yusuf mengkhabarkan kepada bapanya nabi Ya'qub,"Wahai bapaku, aku melihat sebelas bintang, matahari, dan bulan bersujud kepadaku." (Yusuf: 4). Ternyata mimpi ini membawa petanda baik bahawa nabi Yusuf akhirnya diangkat menjadi pemimpin yang berkuasa dan bijak. Namun mimpi bagi insan yang jauh dari keimanan kebanyakannya datang daripada syaitan. Jika mimpinya itu benar-benar menjadi kenyataan maka itu adalah sebagai peringatan daripada Allah SWT agar mereka yang jauh daripada kebenaran (hidayah) itu kembali dekat kepada-Nya.



Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Penjahat Kecil
Hadith :
Dari Amir bin Saad dari bapanya (Saad bin Abi Waqas) r.a katanya:”Sesungguhnya nabi s.a.w telah memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya ‘si penjahat kecil’.

(Muslim)



Huraian
Berlaku sebuah kisah di zaman Nabi Ibrahim a.s semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulangkali. Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu, “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.' Lalu dijawab oleh burung tersebut, “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.” Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus-hembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusannya itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan.)



Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Hati Yang Selalu Muda
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda.”

(Muslim)



Huraian
Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda. Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut, ’rumah kata pergi, kubur kata mari’, masih juga bergelumang dengan dosa. Hal yang demikian ini merupakan suatu yang amat merugikan. Oleh sebab itu kita diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tiba 5 rintangan iaitu waktu kaya sebelum miskin, waktu senang sebelum sibuk, waktu sihat sebelum sakit, waktu muda sebelum tua dan waktu hidup sebelum mati. Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak harus menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan. Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang. Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok hari.”





Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Kebinasaan Berlaku Tidak Mengira Sesiapa Masa Dan Tempat
Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Bakal ada tentera yang akan menyerang Ka’abah, tetapi ketika mereka sampai disuatu tempat lapang, tiba-tiba ia dibinasakan semuanya , baik yang pertama hingga yang terakhir.’Aisyah bertanya: Ya Rasulullah, bagaimana dibinasakan semuanya, padahal disitu ada orang-orang yang tidak ikut serta, iaitu orang yang sedang dipasar dan lain-lainnya? Jawab Nabi di binasakan semua, kemudian dibangkitkan menurut niat masing-masing”.

Riwayat Bukhari Muslim



Huraian
Kebinasaan yang menimpa pada suatu daerah akan mengenai yang bersalah dan yang tidak bersalah, orang yang baik dan orang yang tidak baik, ia akan mengenai semuanya apabila kecelakaan itu berlaku.
Di suatu zaman, akan berlaku penyerangan atau pertempuran diantara golongan atau puak ditempat yang disasarkan, yang melibatkan ramai terkorban. Dan ramai yang telah cedera akibat pertempuran itu.
Perhitungan atau balasan diakhirat kelak hanya terhadap mereka yang bersalah. Bagi semua pejuang akan menerima perhitungan menurut niatnya. yang baik akan menerima balasan yang baik manakala pejuangan yang jahat akan menerima balasan kejahatannya diakhirat kelak.




Kategori : IBADAH Akidah
Tajuk :
Bacalah ‘zahrawain’
Hadith :
Dari Abu Umamah al-Bahili r.a, katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bacalah al-Quran kerana dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Aali-Imran , kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti seperti dua kumpulan awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam matlamat hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan oleh tukang-tukang sihir). ”

(Muslim)



Huraian
Al Quran merupakan petunjuk bagi umat manusia, di dalamnya tersimpan berjuta fadhilat atau hikmat yang tidak diketahui oleh manusia. Di samping itu al Quran juga berfungsi sebagai penawar atau pendinding bagi jasmani dan rohani manusia yang mengerti dan mengamalkannya menurut ketentuan sunnah. Yang penting adalah keyakinan diri kita terhadap kebesaran Allah dan keagungan kalimah-kalimah Allah yang dijadikan sebagai pendinding daripada kejahatan kuasa-kuasa ghaib yang dihantar oleh pengamal ilmu-ilmu kebatinan yang sesat (ilmu hitam). Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Dia-lah sebaik-baik pelindung yang tiada siapa dapat menandingi-Nya.




Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Pagar Diri Dari Maksiat
Hadith :
Dari Jabir r.a, katanya dia mendengar nabi s.a.w bersabda:”Apabila ada di antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita maka hendaklah dia pulang kepada isterinya untuk melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya.”

(Muslim)



Huraian
Rumah tangga orang beriman adalah benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Rumah yang didiami bukan sekadar tempat berlindung dari panas dan hujan bahkan ia merupakan tempat untuk beristirehat, membina kasih sayang antara ahli keluarga, anak dan isteri dan mencari keredhaan Allah S.W.T. Sesungguhnya, alasan yang paling kukuh mengapa manusia itu perlu berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi. Dengan perkataan lain ia adalah fitrah yang dijadikan oleh Allah S.W.T. Maka atas tuntutan tersebut, tanpa adanya perkahwinan kadangkala manusia akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat. Sebab itulah Islam memuliakan sebuah perkahwinan dan amat menggalakkan umatnya supaya berkahwin sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (Bukhari)



Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Jangan Suka Memberontak Dan Menentang
Hadith :
Ibnu Abbas r.a menerangkan, bahawasanya Nabi SAW bersabda:”Sesiapa yang tidak menyenangi kepala pemerintahannya hendaklah ia bersabar kerana sesungguhnya orang yang keluar dari mentaati pemerintahan nescaya dia mati sebagaimana mati di masa jahiliyah.”

(Bukhari dan Muslim)



Huraian
Rasulullah SAW melarang kita daripada bertindak menentang penguasa dan melakukan pemberontakan terhadapnya. Ini disebabkan perkara tersebut akan menjadikan kita dilabel sebagai pendurhaka dan kematian kita disamakan seperti matinya orang-orang jahiliyah iaitu mati dalam keadaan bercerai berai dan tidak mempunyai kesatuan. Lagi pula penentangan kita itu akan menimbulkan fitnah dan kekacauan, merosakkan kerukunan masyarakat dan boleh mengakibatkan pertumpahan darah (pergaduhan dan perkelahian). Jumhur ulama’ berpendapat bahawa sekalipun seseorang pemerintah atau ketua itu berlaku fasik, namun kita tidak boleh mengambil jalan mudah terus memecatnya dari kedudukannya. Wajib ke atas kita melakukan apa yang diperintahkannya asal saja ia bukan perkara yang berbentuk maksiat dan melanggar syarak. Dalam konteks sebuah negara Islam, kita umat Islam hendaklah mempamerkan sikap yang baik terutamanya kepada yang mereka yang bukan Islam kerana Islam menyuruh kita supaya hidup bersatu padu, bertoleransi, musyawarah dan bekerjasama dengan pemerintah. Sekiranya ada tindakannya yang kurang wajar maka kita harus bersabar dan memilih jalan penyelesaian yang paling selamat demi keamanan negara dan kesejahteraan umat sejagat.




Kategori : IBADAH Haji Umrah
Tajuk :
Jihad Kaum Wanita
Hadith :
Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.”

(al-Bukhari)



Huraian
Haji juga disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan jihad fi sabilillah, kerana apabila seseorang itu mati sewaktu menunaikan ibadah haji, matinya itu tergolong seperti mati syahid. Rasulullah SAW bersabda: " Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji" (an-Nasa'i). Oleh itu setiap muslim harus menunaikan ibadah haji dengan sebaik-baiknya sebagaimana ibadah-ibadah lainnya iaitu ia mestilah disertai dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan dalam rangka memperoleh keredhaan-Nya. Apabila keikhlasan sudah tertanam di dalam jiwa, meskipun pelaksanaannya kelihatan begitu berat dan memerlukan pengorbanan harta, tenaga, waktu, perasaan bahkan nyawa, seseorang muslim akan dengan sendirinya terasa ringan untuk melakukannya. Sebaliknya, tanpa keikhlasan, bukan sahaja ibadah yang berat seperti tawaf yang memerlukan manusia bersesak-sesak, wuquf di dalam cuaca panas terik, melontar yang bakal dihujani pelbagai risiko dan sebagainya, malah ibadah yang ringan pun akan terasa berat untuk dilaksanakannya jika hati tidak disertai keikhlasan. Itulah sebabnya mengapa haji termasuk dalam konteks jihad dalam beribadah.




Kategori : IBADAH Solat
Tajuk :
Keistimewaan Wudhu’ Yang Sempurna
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a., katanya:” Bersabda Rasulullah s.a.w.:” Luas telaga ku pada hari kiamat lebih dari jarak Ailah1) dan ‘Adan’ airnya lebih jernih dari salju, lebih manis dari madu bercampur susu, bejana-bejananya lebih baik dari bintang di langit; Aku melarang umat selain umat ku yang akan datang minum di situ, sebagaimana seorang yang menjaga unta-unta orang lain yang akan minum dari telaganya; Ditanya Rasulullah s.a.w.:” Dapatkah tuan mengenal kami ketika itu?” Jawab Rasulullah s.a.w.:” Ya, ialah dengan bekas wuduk yang gilang-gemilang di muka mu sebagai tanda yang diistimewakan dari umat-umat yang lain.”

(Muslim)



Huraian
Allah SWT berfirman yang maksudnya:” Pada hari ketika kamu melihat orang Mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka): Pada hari ini ada berita gembira untukmu, iaitu syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang banyak (al- Hadid:12). Sesungguhnya bekas-bekas basuhan air wudhu’ di wajah kita menjadi penyeri kepada wajah. Begitu juga setiap amal soleh yang kita lakukan adalah penyeri kepada akhlak. Semua himpunan cahaya ini adalah lambang keserian iman yang akan menerangi hidup seseorang di dunia dan akhirat. Syurga indah sedia menanti mereka di sana. Maka alangkah ruginya jika kita terkecuali daripada golongan yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis di atas. Namun manusia lazimnya selalu leka dalam mengejar nikmat dunia yang sementara di hadapan mata mereka berbanding nikmat akhirat yang indah dan kekal abadi. Sesungguhnya janji Allah SWT tetap benar dan hanya orang yang sabar sahaja akan dapat mengecap nikmat kebahagiaan yang dijanjikan-Nya itu.




Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Tujuh Golongan Insan Contoh
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.”

Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah



Huraian
Pengajaran hadis:
i) Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu :
a) Pemerintah yang adil- Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.
b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya – Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.
c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid
- Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.
d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah
- Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
e) Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”
- Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.
f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya
-Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya’ dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakuknnya itu.
g) Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah
- Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.





Kategori : AKIDAH Usuluddin
Tajuk :
Isteri Jangan Tolak Permintaan Suami Untuk 'bersama'.
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya:”Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur, tetapi tidak diendahkan oleh isterinya, lalu malam itu suaminya marah kepadanya maka isteri itu mendapat kutukan malaikat sehingga Subuh.”

(Muslim)



Huraian
Hakikatnya memang benar bahawa wanita itu bukan simbol seks dan tempat pemuas nafsu si suami hingga di Barat, wujud undang-undang yang disebut marital rape (suami merogol isteri). Namun dari satu sudut lelaki memang perlu bertolak ansur. Jika isteri penat, datang haid, baru bersalin dan sebab-sebab lain yang dibenarkan oleh Islam, memanglah tidak patut bagi si suami memaksa isteri melayan kehendaknya. Tetapi jika tidak ada sebarang sebab untuk menolak, jika diminta oleh suami maka si isteri wajib memenuhinya. Permasalahan ada ‘mood’ atau tidak, ia perlu dirujuk pada yang pakar bagaimana mahu mewujudkan mood tersebut tetapi janganlah sampai melanggar batas-batas syarak.




Kategori : TOHARAH Najis
Tajuk :
Mani; Najis Atau Tidak?
Hadith :
Dari Amar bin Maimun r.a katanya:”Aku bertanya kepada Sulaiman bin Yasar perihal mani apabila mengenai pakaian seseorang; apakah cukup dengan membersihkan yang terkena mani itu sahaja ataukah harus mencuci kain itu seluruhnya?” Jawabnya:”Aisyah pernah mengkhabarkan kepadaku bahawa Rasulullah SAW hanya membersihkan bahagian yang kena mani itu sahaja; kemudian beliau pergi solat dengan memakai kain itu. Aku memang melihat bekas cucian di kain itu.”

(Muslim)



Huraian
Mengikut pendapat asy-Syafi’eyyah, pakaian yang terkena air mani boleh digunakan untuk menunaikan solat kerana air mani tidak dikira najis. Namun pandangan asy-Syafi’eyyah juga menyebut bahawa disunatkan membasuh pakaian yang terkena air mani sekiranya air mani itu telah kering pada pakaian. (Ibn Qudamah, Mugni al-Muhtaj, jld:1, hlm:79-80) Dr. Wahbah al-Zuhailiy berpendapat, air mani tidak boleh dikategorikan sebagai najis. Ini kerana manusia dijadikan daripadanya dan sebagai memudahkan urusan anak adam. (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, Fiqh al-Islamiy, jld:1,hlm:164).





Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Kunci Kemurahan Rezeki
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.”

Riwayat Bukhari & Muslim



Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(al-Baqarah:26)
ii) Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.
iii) Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.
iv) Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

0 comments: